Tetak jiran tak puas hati laluan koridor

Lokasi kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Ampang.
Lokasi kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Ampang.
A
A
A

AMPANG - Hanya kerana tidak berpuas hati berkaitan laluan koridor menyebabkan seorang lelaki tergamak menyerang dan menetak jirannya dengan pisau di kediaman pangsapuri di Kampung Baru Ampang di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 10 pagi, lelaki berusia 64 tahun ketika tiba di rumahnya didatangi suspek berusia 38 tahun dengan memegang sebilah pisau lalu suspek terus menetak dan terkena topi keledar yang dipakai mangsa.

"Suspek kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh dan menetak tangan kiri jirannya itu.

"Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian lengan sebelah kiri dan sakit di semua badan sebelum mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, suspek yang juga seorang kontraktor ditahan pada jam 5.45 petang pada hari yang sama.

"Kita turut merampas sebilah pisau, sehelai baju kemeja T berwarna coklat dan sehelai seluar warna hitam," katanya.

Mohamad Farouk berkata, punca pergaduhan adalah disebabkan isu laluan koridor depan rumah.

"Suspek tidak suka mangsa lalu di depannya ketika suspek duduk di koridor hadapan rumah jirannya itu.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.