Penganggur didakwa bunuh abang, kakak ipar

Chun Ming didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap abang dan kakak iparnya, minggu lalu.
Chun Ming didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap abang dan kakak iparnya, minggu lalu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Khamis atas dua pertuduhan membunuh sepasang suami isteri yang juga abang dan kakak iparnya dalam kejadian, minggu lalu.

Tertuduh, Ng Chun Ming, 61, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Ng Chun Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah bernombor di Laluan Bercham Utara, Taman Bercham Aman antara jam 6.45 petang pada 6 Julai 2022 hingga 8.20 pagi, 7 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 September depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh yang merupakan adik kandung kepada mangsa sebelum ini telah direman selama tujuh hari bermula 8 Julai lalu.

Lelaki itu yang melarikan diri selepas kejadian berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan untuk mendatangkan kematian kepada kedua-dua mangsa.

Dalam kejadian pada Khamis, pasangan suami isteri itu ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah kesan kecederaan di kepala yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

Kejadian itu disedari abang mangsa berusia 65 tahun yang baru pulang dari tempat kerja sekitar jam 8.45 pagi.

Sebelum kejadian, berlaku pertengkaran antara suami isteri itu dengan tertuduh yang tinggal bersama di rumah berkenaan.