Banjir Baling: Risda prihatin nasib 140 pekebun kecil

Peruntukan berjumlah RM100,000 disalurkan melalui Yayasan Risda untuk bantu mangsa bencana alam itu

Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (kiri) melawat lokasi bencana banjir dan kepala air di tebing Sungai Iboi, Kupang, Baling, Kedah.
Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (kiri) melawat lokasi bencana banjir dan kepala air di tebing Sungai Iboi, Kupang, Baling, Kedah.
A
A
A

BALING - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyediakan Rancangan Pemulihan Kebun (RPK) membabitkan 98 hektar kebun getah yang terjejas banjir dan kepala air di Kampung Iboi minggu lalu.

Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, jumlah itu membabitkan 10 peratus daripada keseluruhan mangsa bencana banjir di Baling terdiri daripada 140 pekebun kecil.

MOHD SALIM
MOHD SALIM

Menurutnya, bantuan merangkumi penanaman semula kebun yang rosak atau musnah termasuk pemulihan kawasan, baja, benih dan prasarana.

"Bantuan ini dikhususkan kepada pekebun kecil di mana mereka layak menerima bantuan pemulihan pada kadar maksimum RM7,710 bagi sehektar kawasan kebun getah,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke kawasan bencana Kampung Iboi pada Rabu.

Mohd Salim bersama salah seorang mangsa, Abdullah Ahmad, 65, di Kampung Masjid Iboi, Kupang, Baling ketika mengadakan lawatan kerja pada Rabu.
Mohd Salim bersama salah seorang mangsa, Abdullah Ahmad, 65, di Kampung Masjid Iboi, Kupang, Baling ketika mengadakan lawatan kerja pada Rabu.

Jelasnya, kelayakan RPK turut merangkumi kemusnahan atau kerosakan tanaman yang berpunca daripada haiwan liar, cuaca dan serangan penyakit membabitkan kawasan kebun bawah lima hektar.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai enam usahawan bimbingan Risda turut terkesan dalam bencana banjir dan kepala air di Kampung Iboi Kupang, Baling.

"Dua orang usahawan iaitu bakeri dan madu kelulut mengalami kemusnahan keseluruhan premis manakala empat lagi mengalami kerosakan kecil,"katanya.

Mohd Salim berkata, Risda masih meneruskan operasi mengenal pasti jumlah keseluruhan kawasan kebun terjejas bagi memastikan pekebun kecil menerima manfaat RPK.

Mohd Salim menyampaikan sumbangan pek makanan kepada mangsa banjir dalam kalangan pekebun kecil.
Mohd Salim menyampaikan sumbangan pek makanan kepada mangsa banjir dalam kalangan pekebun kecil.

Dalam kunjungan sama, Risda turut melaksanakan tanggungjawab sosial menerusi Yayasan Risda bernilai RM100,000 melibatkan 1,000 unit bantuan bekalan makanan kepada mangsa banjir.

"Kita juga menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada 17 mangsa yang rumah mereka yang rosak teruk dan hanyut," katanya.

Jelasnya, Daerah Baling mempunyai 13,121 orang pekebun kecil dengan keluasan penanaman 13,988 hektar iaitu terbesar di Malaysia.

INFO:

RANCANGAN PEMULIHAN KEBUN RISDA

- Bantuan pemulihan pada kadar maksimum RM7,710 bagi sehektar kawasan kebun getah

SUMBANGAN YAYASAN RISDA

- RM100,000 untuk sumbangan pek makanan

- 17 mangsa banjir menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang.