Jemaah terkandas: Reman lima suspek disambung esok

Lebih 300 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis disyaki menjadi mangsa penipuan syarikat pelancongan.
Lebih 300 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, Sepang pada Khamis disyaki menjadi mangsa penipuan syarikat pelancongan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima individu termasuk sepasang suami isteri pemilik syarikat pelancongan yang ditahan susulan insiden 380 bakal jemaah haji terkandas Khamis lalu, diserahkan semula kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

"Tempoh reman terhadap lima individu itu tamat hari ini (Rabu) dan kesemua mereka akan diserahkan ke pihak Polis Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Semua suspek berkenaan akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut berhubung kes itu petang ini dan permohonan reman terhadap mereka akan dibuat esok (Khamis),” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua suspek yang berumur antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara, kira-kira jam 9 malam, Jumaat lepas.

Suspek yang ditahan termasuk pemilik agensi pelancongan itu dan juga isterinya.

Mereka kemudian direman selama tiga hari sebelum tempoh itu dilanjutkan satu hari lagi.

Khamis lepas, media tempatan melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.