Suspek bunuh abang, kakak ipar didakwa esok

Laporan Sinar Harian minggu lalu.
Laporan Sinar Harian minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Lelaki yang menjadi suspek utama kes bunuh pasangan suami isteri di Taman Bercham Aman di sini, minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telahpun dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).

"Polis mendapat arahan untuk menuduh suspek berusia 61 tahun itu dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Suspek yang merupakan adik kandung kepada mangsa sebelum ini telah direman selama tujuh hari bermula 8 Julai lalu.

Lelaki itu yang melarikan diri selepas kejadian berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands bersama sebilah kapak yang dipercayai digunakan untuk mendatangkan kematian kepada kedua-dua mangsa.

Dalam kejadian pada Khamis, Ng Chuan Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan berlumuran darah kesan kecederaan di kepala yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

Kejadian itu disedari abang mangsa berusia 65 tahun yang baru pulang dari tempat kerja sekitar jam 8.45 pagi.