Pemandu BMW didakwa larikan diri sudah dikesan, beri keterangan

Perkongsian di media sosial yang dimuat naik seorang wanita bagi membantu mengesan pemandu kereta jenis BMW yang didakwa melarikan diri selepas kemalangan. Foto: Facebook Viral Perak
Perkongsian di media sosial yang dimuat naik seorang wanita bagi membantu mengesan pemandu kereta jenis BMW yang didakwa melarikan diri selepas kemalangan. Foto: Facebook Viral Perak
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pemandu kereta tular jenis BMW 330E yang didakwa melarikan diri selepas mengakibatkan kemalangan membabitkan bayi empat bulan pada Isnin di sini telah dikesan dan dipanggil memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pemandu berusia 30 tahun terbabit tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada Selasa dan telah diminta hadir ke IPD Muallim bagi membantu siasatan kes itu.

"Lelaki itu hadir ke IPD Muallim pada jam 10 malam tadi (Selasa) untuk direkod keterangan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Dalam kejadian itu, pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan kerosakan kenderaan iaitu calar pada bahagian sisi belakang kanan dan rim tayar bahagian belakang sebelah kanan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kemalangan yang berlaku di Kilometer 385.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Tanjung Malim sekitar jam 7.30 malam itu telah mengakibatkan sepasang suami isteri yang menaiki kereta jenis Proton Inspira cedera sementara bayi mereka parah.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta BMW secara tiba-tiba masuk di hadapan laluan kereta Proton Inspira dari lorong tengah ke lorong kanan.

"Keadaan itu menyebabkan pemandu Proton Inspira hilang kawalan dan terlanggar bahagian sisi belakang kenderaan BMW sebelum terbabas sehingga merempuh besi pembahagi jalan di bahagian tengah jalan," katanya.

Mohd Hasni berkata, pemandu Proton Inspira berusia 30 tahun itu mengalami luka di bahagian tangan kanan sementara isterinya mengalami retak di pergelangan kaki kiri.

Katanya, bayi lelaki mereka berusia empat bulan pula patah tulang paha dan pinggul serta mengalami pendarahan di otak, seorang lagi penumpang iaitu lelaki berusia 20 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semua mangsa dibawa ke Hospital Slim River sementara bayi tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan untuk menjalani pemeriksaan Puspakom dan ujian kimia bagi menentukan 'point of impact' kemalangan.

"Orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat diminta tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan," katanya.

Kejadian itu tular dalam media sosial sejak Selasa setelah dimuat naik seorang wanita yang mendakwa pemandu kereta BMW berkenaan melarikan diri selepas menyebabkan kenderaan dinaikinya terbabas.

Wanita yang dikenali dengan nama Natasya Nadia itu memaklumkan bayinya, Aqasha Alhaq, 4 bulan telah tercampak ke tengah jalan akibat insiden yang berlaku.