Dua mayat ditemui, dua suspek ditahan

Mayat seorang wanita yang ditemui di Sungai Semantan dekat Kampung Raja pada Isnin.
Foto: Ihsan JBPM
Mayat seorang wanita yang ditemui di Sungai Semantan dekat Kampung Raja pada Isnin. Foto: Ihsan JBPM
A
A
A
TEMERLOH - Dua suspek ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di Mentakab pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, suspek iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 40 tahun ditahan di lokasi berasingan di daerah ini kira-kira jam 4 hingga 5 pagi.

Menurutnya, sebelum itu, pihak polis telah menerima aduan daripada orang awam yang menjumpai mayat mangsa kira-kira jam 7.20 pagi pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 40-an itu bukan warganegara dan mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Kedua-dua suspek telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari hingga Khamis ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Azhar juga meminta orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat seorang wanita di Sungai Semantan dekat Kampung Raja di sini pada Isnin.

Ujarnya, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai mayat di lokasi kejadian kira-kira jam 6.40 petang.

"Siasatan awal mendapati mayat yang dijumpai merupakan seorang perempuan dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

"Bagi kedua-dua kes ini, ia disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.

Orang awam diminta untuk tampil menyalurkan maklumat mengenai kejadian tersebut kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nurhafezah Md Nor di talian 012-3740731, Asisten Superintendan Irmawathy Mohamad Yusof di talian 012-2822874 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di talian 09-2716222.