TH nafi wujud kartel pilih syarikat pelancongan kendali haji

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal dakwaan terdapat kartel dalam pemilihan syarikat pelancongan untuk mengendalikan pakej swasta ibadah haji.

Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menjelaskan, mana-mana syarikat pelancongan boleh memohon untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berlesen dan akan dipilih apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, sistem tersebut telah diguna pakai sejak tahun 2000 dan ditambah baik secara berkala, malah diperkemaskan kali terakhir pada tahun ini.

“Syarat-syarat pemilihan PJH yang ditetapkan adalah bagi memastikan syarikat-syarikat pelancongan tempatan memiliki kapasiti yang teguh serta mampu memberikan perkhidmatan Haji yang terbaik.

“Ini termasuklah mampu menjaga rapi kebajikan jemaah Haji Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian merujuk kepada beberapa kenyataan dikeluarkan berhubung pemilihan syarikat pelancongan untuk mengendalikan pakej swasta ibadat haji oleh TH.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa TH telah memilih dua PJH baru tahun ini, antaranya Az Zuha Group Travel and Tours Sdn Bhd dan Mimm Travel and Tours Sdn Bhd bagi menguruskan pemergian haji ke tanah suci.

“Permohonan lesen PJH dibuka setiap tahun dan ditutup pada 1 Ramadan. Bagi permohonan baharu untuk musim 1444H/2023M, permohonan telah ditutup pada 1 Ramadan 1443H/ 2 April 2022.

“Permohonan untuk musim 1445H/2024 pula akan ditutup pada 1 Ramadan 1444H,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Syed Saleh berkata, TH juga telah mengeluarkan lesen PJH kepada 22 syarikat pelancongan tempatan pada 22 Febuari lalu dengan melalui proses saringan dan pemilihan teliti.

Katanya, bagi memenuhi syarat permohonan lesen PJH, syarikat pelancongan tempatan dikehendaki memenuhi 10 syarat antaranya, berpengalaman mengendalikan umrah tiga tahun berturut-turut, lulus penilaian umrah oleh Pejabat TH di Arab Saudi dan tiada kes mahkamah semasa.

Beliau bagaimanapun turut menyarankan orang ramai terutama bakal haji menggunakan perkhidmatan pakej haji yang disediakan oleh PJH yang dilesenkan TH sahaja dan boleh merujuk kepada senarai PJH di laman web TH di www.tabunghaji.gov.my.