[VIDEO] Perhilitan jejaki harimau belang dirempuh kereta

Tangkap layar harimau belang yang melintas jalan dan dirempuh sebuah kereta di Machang.
Tangkap layar harimau belang yang melintas jalan dan dirempuh sebuah kereta di Machang.
A
A
A

MACHANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sedang mengesan seekor harimau belang yang dirempuh sebuah kereta ketika berlari melintas jalan di Tok Bok-Selising di sini pada 7 Julai lalu.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, operasi bersepadu digerakkan oleh sepasukan renjer dari jabatan itu bagi mengesan kedudukan harimau berkenaan.

“Setakat ini, belum ada tanda-tanda kehadiran harimau belang tersebut dan usaha menjejakinya masih diteruskan.

“Pihak kami percaya harimau belang itu sudah lama berkeliaran di kawasan berkenaan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, pihaknya belum pernah menerima sebarang aduan berkaitan kehadiran haiwan itu di kawasan berkenaan namun mengambil pendekatan untuk sentiasa berwaspada.

“Kami mengambil kira kepentingan keselamatan penduduk setempat dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.

“Sebaik menerima aduan berhubung kejadian harimau dilanggar kereta, pasukan renjer dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mengesan haiwan itu dan usaha masih diteruskan sehingga harimau itu ditemukan,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman kamera papan pemuka berdurasi 17 saat membabitkan kejadian seekor harimau yang secara tiba-tiba melintas laju di hadapan sebuah kereta sedang bergerak menyebabkan haiwan itu dirempuh.

Dalam kejadian 11.24 malam itu bagaimanapun memperlihatkan haiwan liar tersebut terus memecut lari ke arah semak di kiri bahu jalan dan hilang dari pandangan.