Wan Saiful sahkan bukan lagi Pengerusi PTPTN

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

KUBANG PASU - Teka-teki kedudukan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terjawab apabila disahkan beliau sendiri pada Selasa.

Wan Saiful mengesahkan tidak lagi menjawat jawatan terbabit selepas kontraknya tamat pada 17 Jun lepas.

Beliau bagaimanapun berbangga dengan pencapaian dan usaha yang dilaksanakan di PTPTN ketika menjawat jawatan itu selama empat tahun sejak 18 Jun 2018.

"Memang betul saya bukan lagi pengerusi PTPTN kerana kontrak saya telah tamat pada 17 Jun lalu. Setakat ini saya difahamkan pengerusi baharu belum lagi dilantik.

"Sepanjang empat tahun di PTPTN, saya berbangga dengan usaha dijalankan terutamanya berkaitan fokus penyelesaian jangka panjang, berkaitan hutang anak muda dengan mengalakkan penabungan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas menyempurnakan ibadah korban bersama masyarakat kampung di Kampung Machang, dekat sini pada Selasa.

Menurut Wan Saiful, kutipan deposit tahunan PTPTN sebanyak RM700 juta ketika beliau mula mengambil jawatan terbabit namun ia meningkat lebih empat kali ganda kepada RM3 bilion setahun selepas empat tahun.

Sebelum ini, semakan media di laman web rasmi perbadanan berkenaan mendapati jawatan Pengerusi PTPTN telah dikosongkan sejak kira-kira seminggu lepas.

Susulan itu, keadaan ini mencetuskan tanda tanya memandangkan tiada kenyataan rasmi berhubun kekosongan jawatan tersebut daripada PTPTN.

Ketika diminta mengulas dakwaan mengaitkan dirinya dengan jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, jelas Wan Saiful, beliau kini hanya fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Sudah sampai masa untuk fokus diberikan kepada pilihan raya. Soal diri saya tidak penting, sebaliknya lebih penting supaya parti secara keseluruhan digerakkan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya," katanya.