Bomba selamatkan bayi terperangkap dalam kereta

Bayi perempuan berusia 47 hari terperangkap dalam kereta di Alor Merah, di sini, diselamatkan bomba pada Isnin. - Foto Bomba Alor Setar
Bayi perempuan berusia 47 hari terperangkap dalam kereta di Alor Merah, di sini, diselamatkan bomba pada Isnin. - Foto Bomba Alor Setar
A
A
A

ALOR SETAR – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 47 hari yang terperangkap dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di kawasan Alor Merah, di sini, pada Isnin.

Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 2.21 petang.

Ahmad Naufal berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Rusdi Lazim ke lokasi sebaik menerima laporan tentang kejadian.

“Susulan itu, anggota bomba bertindak membuka pintu kereta bagi mengeluarkan bayi perempuan yang terperangkap dalam kenderaan tersebut menggunakan peralatan khas.

“Anggota bomba berjaya mengeluarkan bayi perempuan itu dalam tempoh lima minit sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya pada Isnin.

Beliau memaklumkan, operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 2.43 petang.