KPDNHEP serbu premis seleweng diesel subsidi

KPDNHEP tumpaskan aktiviti penyelewengan diesel subsidi.
KPDNHEP tumpaskan aktiviti penyelewengan diesel subsidi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan RM170,346.

Pengarah Penguat kuasanya, Azman Adam berkata, serbuan dijalankan pihaknya ke atas sebuah premis di Taman Bayu Tinggi, Klang, Selangor pada 6 Julai lalu.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah diesel, kenderaan lori, beberapa tangki kosong berisi minyak diesel, mesin kompresor dan beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, siasatan terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat.

"Kementerian juga akan mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah daripada mana minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta dan bagi kesalahan berikutnya, RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.

Azman mengingatkan kementerian itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

"Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah di bawah AKB 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.