Pas bakal peroleh lebih banyak kerusi pada PRU15 : Tun Daim

Tun Daim Zainuddin
Tun Daim Zainuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik veteran, Tun Daim Zainuddin menjangkakan Pas bakal memperoleh lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Bukan sahaja itu, beliau turut menjangkakan parti dalam PH bakal kehilangan sebilangan kerusi yang dimenanginya pada 2018 yang lalu.

"Pembangkang tidak akan dapat majoriti kerana DAP akan kehilangan sebilangan kerusi sementara PKR (Parti Keadilan Rakyat) akan kalah lebih lagi.

“Bagi Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air), saya rasa sudah habis dan begitu juga Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia)

“Dan jika kita tidak hati-hati, Pas akan dapat lebih banyak kerusi,” katanya memetik laporan The Malaysian Insight pada Isnin.

Pas bukan sahaja memenangi 18 kerusi Parlimen pada pilihan raya 2018, malah berjaya menerajui Kelantan, Kedah dan Terengganu melalui kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, walaupun PH kehilangan kuasa pada 2020, namun ia masih tidak berubah sehingga hari ini.

“Pembangkang masih berpecah-belah dan ini akan berterusan hingga 10 tahun jika kita tidak hati-hati,” katanya.

Beliau menambah, perpecahan dalam PH dan UMNO juga secara tidak langsung mendorong pengundi Melayu ke arah Pas.

Menurutnya, berbeza dengan parti lain, ideologi Islam yang dibawa Pas menarik orang Melayu kerana apabila berdepan keadaan tidak pasti, golongan pengundi itu lebih terdorong kepada agama.

“Apabila orang Melayu semakin tua, mereka juga mula berfikir tentang ALLAH dan bagaimana Pas menjadi penyelamat mereka,” kata Daim.

Mengulas mengenai parti lamanya, UMNO, Daim melihat parti itu yakin dapat memenangi lebih separuh daripada 165 kerusi di semenanjung Malaysia.

“Sesetengah penganalisis Umno percaya mereka boleh menang hingga 85 kerusi. Tapi itu bermaksud mereka perlukan Sabah dan Sarawak,” katanya.