Operasi cari bayi 18 bulan diperluas hingga 63 kilometer

Operasi SAR bayi 18 bulan diperluas sehingga 63 kilometer di kawasan muara Sungai Padas, Beaufort.
Operasi SAR bayi 18 bulan diperluas sehingga 63 kilometer di kawasan muara Sungai Padas, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang hilang pada Sabtu lalu diperluaskan kawasan pencarian sehingga ke muara Sungai Padas iaitu sejauh 63 kilometer dari Kampung Batu 60.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, operasi yang memasuki hari ketiga itu dimulakan pada jam 7 pagi.

"Operasi hari ini (Isnin) dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu menyusuri sungai bagi pencarian di permukaan sungai menggunakan bot dari Batu 60 ke muara Sungai Padas sejauh 63 kilometer.

"Pencarian juga dilakukan di kawasan belukar dan ladang kelapa sawit dengan radius sejauh tujuh kilometer dari pos kawalan bomba," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Kata Mohammad Hasbullah, operasi pencarian disertai seramai 19 anggota BBP Beaufort dibantu agensi keselamatan lain dan penduduk kampung.

"Selain dibantu seramai 70 penduduk kampung, operasi SAR turut disertai oleh anjing pengesan dari unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri yang dikenali sebagai Lexi dan Fleur," katanya.

Tambah Muhammad Hasbullah, sehingga kini mangsa belum ditemui dan maklumat mengenainya akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan, Jude Angel Jeremy dipercayai jatuh ke sungai selepas disedari hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, di sini.

Ketika kejadian, mangsa dijaga oleh neneknya manakala kedua ibu bapanya berada di Tamu Beaufort (pasar mingguan) untuk berniaga.