Suspek kes tipu pakej haji diserah kepada Polis Selangor

Ashari Abu Samah
Ashari Abu Samah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima suspek termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan yang disyaki terlibat dalam kes penipuan pakej haji diserahkan kepada Polis Selangor untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kesemua individu itu, sebelum diserahkan kepada Polis Selangor.

"Polis selesai proses rakam keterangan kesemua suspek, kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya.

"Kesemua tangkapan diserah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor untuk membantu siasatan kes yang dilaporkan di negeri itu," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Ashari berkata, tiada sebarang tangkapan baharu berkaitan kes itu.

Pada Sabtu, Ashari memaklumkan sebanyak 23 laporan polis diterima di Kuala Lumpur daripada mangsa membabitkan kerugian lebih RM760,000 dengan 18 laporan polis diterima pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Berikutan itu, polis menahan lima individu, kira-kira jam 9 malam di beberapa lokasi sekitar ibu negara untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

Tangkapan terdiri daripada pemilik sebuah agensi pelancongan dan isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di pejabat agensi pelancongan terbabit di Setapak.

Pada Khamis lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej ibadah haji oleh agensi pelancongan swasta.