Pesara buat laporan polis ditipu pakej haji

M Zambri
M Zambri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pesara membuat laporan polis terhadap sebuah agensi pelancongan yang didakwa gagal menguruskan pakej haji menyebabkan dia kerugian kira-kira RM38,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, laporan berhubung penipuan tawaran pakej haji yang tidak wujud itu dibuat oleh mangsa yang berusia 62 tahun pada 7 Julai lalu.

"Siasatan awal mendapati mangsa membuat bayaran pertama sebanyak RM3,000 pada 2 Jun lalu dan bayaran penuh pada transaksi kedua sebanyak RM35,000 ke dalam akaun atas nama agensi pelancongan tersebut menjadikan jumlah kerugian sebanyak RM38,000.

"Namun, pemilik agensi tersebut memberikan pelbagai alasan dan gagal menempah tiket penerbangan pengadu sehingga menyebabkan mangsa terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 7 Julai lalu kerana menipu.

Minggu lalu, kira-kira 380 bakal jemaah Malaysia terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta.