Dua maut, sembilan cedera kemalangan babit dua MPV

Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa. - Foto Bomba
Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa. - Foto Bomba
A
A
A

MUAR - Dua maut manakala sembilan yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan pelbagai guna(MPV) di Kilometer 144.8, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara, Pagoh di sini pada Sabtu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata seramai lapan anggota dan sebuah jentera bomba dikejarkan ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 malam.

"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Toyota Wish dan sebuah Honda Stream. Keseluruhan mangsa yang terlibat seramai 11 orang.

"Terdapat tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan sejauh 20 meter dan 50 meter serta seorang mangsa tersepit di bawah sebuah kenderaan. Dua mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan menggunakan peralatan khas menyelamat kemalangan jalan raya.

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mangsa yang maut di lokasi kemalangan itu dikenali sebagai Ariff Zainal berusia lingkungan 40an manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 20an.

"Mangsa yang cedera ialah Mohd Joe, 47, Norlida Idris, 47, Nor Aini Sofya 21, Adib Mohamad 19, Puteri Nur Anis, 15, Mohd Adib Shamir 11, Mohd Syamel 8, Suzie Liana 41, dan Mohd Danial Ariff, 9," katanya.