Polis terima laporan video wanita hina agama

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima laporan berhubung penularan rakaman video yang memaparkan seorang wanita disyaki menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Noorsiah berkata, orang ramai diminta tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat.

"PDRM akan mengambil tindakan tegas sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba bertindak dalam apa jua cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut menjalankan siasatan awal berhubung satu klip video tular disyaki menghina agama Islam baru-baru ini yang berlaku di sebuah kelab di sekitar Taman Tun Dr Ismail di sini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan video tular berkenaan dan siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi.