Isu harga barang tiada solusi, ahli Parlimen gesa rombak kabinet

Prabakaran (tiga dari kanan) bersama individu yang hadir dalam himpunan di hadapan sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Prabakaran (tiga dari kanan) bersama individu yang hadir dalam himpunan di hadapan sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa membuat rombakan kabinet bagi mengendurkan tekanan dihadapi rakyat ketika ini khususnya dalam menangani kemelut kenaikan harga barang melampau.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, ia berikutan beberapa usaha dilakukan termasuk penubuhan jawatankuasa tertentu bertujuan mengatasi isu terbabit belum menunjukkan sebarang penyelesaian bagi meringankan beban ditanggung orang ramai.

"Isu kenaikan harga barang ini memerlukan solusi dalam kadar segera temasuk mengembalikan subsidi yang sepatutnya.

"Kalau kita asyik mendengar jawapan jawatankuasa sedang kaji, masih mengkaji, berapa lamakah lagi beban yang dihadapi rakyat ini dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai himpunan di hadapan sebuah pusat membeli belah di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, pihaknya akan membawa tuntutan supaya rombakan kabinet dibuat untuk memastikan keadaan ekonomi berada dalam keadaan stabil dan berpendapat penyelesaian kenaikan harga barang perlu dipercepatkan.

Sementara itu 'Himpunan Kenaikan Harga Barang' yang disertai oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu disertai seramai 10 individu.

Himpunan bermula jam 3.30 petang itu berlangsung selama 20 minit dan dikawal oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.