Idris sedia bantu mangsa penipuan umrah, haji

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Idris
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bersedia untuk membantu mereka yang terkesan dan dizalimi dengan penipuan umrah dan haji.

Menurutnya, walaupun ia bukan di bawah bidang kuasanya sebaliknya Kementerian Pelancongan, namun beliau bersedia membantu agar nasib mangsa terbela.

"Isu penipuan umrah dan haji, ia di bawah Kementerian Pelancongan.

"Namun Insya-ALLAH, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tetap bekerjasama untuk membantu mereka yang dizalimi dan disalurkan kepada pihak yang sepatutnya untuk mengambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Khamis, media melaporkan kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Susulan itu, polis telah menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan pada Jumaat yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara kira-kira jam 9 malam Jumaat.