World Game 2022: Muhammad Rafiq mara ke pusingan 16 terbaik

Muhammad Rafiq
Muhammad Rafiq
A
A
A

JAGUH boling negara, Muhammad Rafiq Ismail membuka kempen kejohanan The World Games 2022 di Alabama, Amerika Syarikat dengan langkah kanan apabila memenangi perlawanan pembukaan acara perseorangan lelaki pada Jumaat (awal pagi ini waktu Malaysia).

Muhammad Rafiq melakukan 257 jatuhan pin menewaskan pencabarnya dari Australia, Callum Borck yang membuat 208 jatuhan pin pada perlawanan pertama berlangsung di Spare Time Trussville.

Tidak terhenti di situ, Muhammad Rafiq sekali lagi membuat 257 jatuhan pin pada perlawanan kedua meninggalkan Callum yang membuat 212 jatuhan pin sekali gus mara ke pusingan seterusnya.

Seorang lagi wakil lelaki negara, Timmy Tan turut mara ke peringkat seterusnya selepas menewaskan pemain Afrika Selatan, Jivi Sewchuran.

Timmy ketinggalan pada perlawanan pertama selepas melakukan 200 jatuhan pin sementara Jivi dengan 218 jatuhan pin.

Pemain negara itu kemudian bangkit di perlawanan kedua dengan 196-189 jatuhan pin sebelum membuat 224-173 jatuhan pin menewaskan Jivi.

Dalam pada itu, pemain boling wanita negara, Sin Li Jane turut menepati ramalan mara ke peringkat seterusnya setelah menewaskan pemain Korea Selatan, Kim Hyun-mi.

Li Jane tewas di perlawanan pertama dengan membuat 172-226 jatuhan pin sebelum bangkit dengan 246-195 jatuhan pin di perlawanan kedua sementara 247-216 jatuhan pin di perlawanan penentuan bagi menewaskan pemain Korea Selatan itu.

Dalam pada itu, perjuangan seorang lagi wakil wanita, Natasha Roslan berakhir setelah tewas di tangan pemain Puerto Rico, Taishaye Naranjo.

Kesemua empat pemain boling negara itu turut akan beraksi bagi acara berpasukan lelaki dan wanita pada kejohanan tersebut. - Bernama