Umat Islam di Melaka diingatkan patuhi SOP ketika Aidiladha

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A
JASIN - Umat Islam di Melaka diingatkan supaya terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menyambut Aidiladha walaupun negara ketika ini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, individu yang mempunyai simptom dan gejala Covid-19 dinasihatkan membuat saringan serta tidak menghadiri masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha serta program korban untuk mengelak penularan jangkitan.

"Sekiranya suasana majlis sesak, masyarakat digalakkan memakai pelitup muka dan wajib ketika berada ditempat tertutup selain dinasihatkan kerap mencuci tangan.

"Keadaan kes di negeri ini terkawal manakala kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka merekodkan 6.9 peratus, justeru kita berharap orang ramai terus bersama-sama mencegah Covid-19 untuk mengelak peningkatan kes selepas sambutan Aidiladha," katanya kepada pemberita pada Program Amal Ayam Segar pada Sabtu.

Program berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Merlimau bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Jasin dan Pertubuhan Muafakat Komuniti Ihsan Melaka.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, sebanyak 1,000 ekor ayam telah dijual kepada penduduk dengan harga RM6.50 sekilogram sejak jam 7.30 pagi menerusi program itu.

Beliau berkata, program kali kelima oleh Japerun berkenaan bertujuan meringankan beban kos sara hidup masyarakat terutama yang beragama Islam dalam menyambut Aidiladha. - Bernama