Pemandu bas ekspres main telefon, langgar lampu merah

Penyamaran sebagai penumpang bas oleh JPJ Perak berjaya mengesan 12 kesalahan dilakukan pemandu bas sempena Op HRAA 2022. Gambar kanan: Mohammad Yusoff
Penyamaran sebagai penumpang bas oleh JPJ Perak berjaya mengesan 12 kesalahan dilakukan pemandu bas sempena Op HRAA 2022. Gambar kanan: Mohammad Yusoff
A
A
A

IPOH - Menggunakan telefon bimbit dan melanggar lampu isyarat merah antara perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu bas ekspres yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sempena Op Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2022.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kesalahan itu dikesan hasil penyamaran sebagai penumpang bagi perjalanan bas ekspres dari Ipoh menghala selatan dan utara dalam tempoh empat hari sehingga Jumaat.

Menurutnya, dalam tempoh itu, sebanyak 12 kes pelbagai kesalahan dapat direkodkan melibatkan enam pemandu bas lain-lain syarikat.

"Menerusi operasi penyamaran ini, kita turut mengesan beberapa kesalahan lain dilakukan pemandu bas termasuklah leka berbual ketika memandu, merokok, meludah dan menggunakan lorong kanan secara berterusan.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh mengancam keselamatan dan mengundang bahaya kepada penumpang," katanya dalam sidang akhbar sempena Op HRAA 2022 negeri Perak di hadapan Institut Memandu Sri Perak dekat Meru Raya di sini pada Jumaat.

Op HRAA 2022 yang dijalankan JPJ Perak di hadapan Institut Memandu Sri Perak dekat Meru Raya di sini pada Jumaat.
Op HRAA 2022 yang dijalankan JPJ Perak di hadapan Institut Memandu Sri Perak dekat Meru Raya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua enam pemandu bas yang terlibat berusia antara 35 hingga 40 tahun itu telah diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Katanya, notis saman serta-merta juga telah dikeluarkan ke atas pemandu dan syarikat bas yang terlibat.

"JPJ Perak telah menggerakkan empat pasukan bagi tugasan penyamaran ini ke perjalanan bas ekspres seluruh negara.

"Mereka akan catat bersama bukti bergambar di kilometer mana kesalahan itu dilakukan sebelum tindakan diambil sebaik sahaja bas tiba di destinasi," katanya.

Op Hari Raya Aidiladha 2022 dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula 7 dan 8 Julai serta 12 dan 13 Julai.

Sementara itu, Mohammad Yusoff berkata, sepanjang dua hari operasi, sebanyak 631 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan yang didapati tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Jelasnya, daripada jumlah itu, kesalahan tidak memiliki lesen memandu merekodkan saman tertinggi iaitu 201 kes.

"Hasil pemeriksaan kita dapati, kalangan orang tua pun ada yang memandu tanpa lesen.

"Kesalahan begini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka perlu sedar untuk menggunakan kenderaan dan kemudahan jalan raya, perlu ada lesen memandu," katanya.