Arafah #QuranHour bawa penghayatan ibadah wukuf

Marhaini
Marhaini
A
A
A

SHAH ALAM - Penganjuran program Arafah #QuranHour dengan bertemakan ‘Haji Manifestasi Ketaatan dan Penyerahan Jiwa Menuju Takwa’ bakal membawa orang ramai untuk menghayati pelaksanaan ibadah wukuf yang merupakan perhimpunan terbesar umat Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, peserta akan dibawa untuk mendalami peristiwa ibadah tersebut melalui surah al-Sajdah, surah al-Hajj dan beberapa ayat pilihan daripada al-Quran.

“Sebenarnya kita mahu membina dan memfokuskan momentum sejam pada Arafah #QuranHour dengan merefleksi ayat dan surah pilihan tersebut untuk menjadi hamba ALLAH yang bersujud, dan memecah kesombongan.

“Bertitik tolak dari sini, akan lahirnya nilai pembinaan sebuah tamadun bangsa berasaskan God centered kesan daripada haji mabrur yang diformulasikan daripada al-Quran. “Kita hendak menghayati semangat perjumpaan terbesar di dunia dengan harapan untuk membawa semangat haji bagi membina umat yang bertakwa,” katanya dalam satu kenyataan.

Marhaini berkata, program Arafah #QuranHour yang akan berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 11.30 pagi pada Sabtu bersamaan 9 Zulhijah itu akan dikendalikan oleh hos, Hifdzi Zaim Zamri yang juga merupakan Hos TickTalk TV.

Katanya, bacaan ayat pilihan surah al-Sajdah dan surah al-Hajj akan dipimpin oleh Qari, Husaini Mahmur dan Qari, Amirahman Abas.

“Manakala sesi tadabbur dibawa oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdulllah Bukhari Abdul Rahim dan Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah, Dr Mohd Shafiq Sahimi.“Turut ditampilkan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam sesi Pesan Tokoh,” ujarnya.

Sementara itu, Marhaini memaklumkan program yang menyasarkan penglibatan alumni dan bakal haji itu turut melibatkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran bersama jemaah haji di padang Arafah pada hari wukuf.

Katanya, aktiviti itu dapat dilakukan menerusi kerjasama dengan beberapa operator haji, antaranya Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Felda Travel Sdn Bhd Wira Saujana Travels & Tours Sdn Bhd dan Juara Travel & Tours Sdn Bhd.

Orang ramai boleh mengikuti siaran Arafah #QuranHour di Facebook Quran Hour dan YouTube QuranHour TV dengan aktiviti baca serta tadabbur al-Quran boleh dilaksanakan di lokasi masing-masing.

Arafah #QuranHour pertama kali diadakan pada tahun 2016 sebelum diteruskan pada 2017 dan 2018 dengan menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal pada Hari Wukuf di Padang Arafah yang jatuh pada tanggal 9 Zulhijah setiap tahun.

Aktiviti itu terpaksa dihentikan sementara waktu sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021.