Suami isteri maut ditetak guna kapak

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Pasangan suami isteri yang menjadi mangsa bunuh adik kandung di Taman Bercham Aman dekat sini pada Khamis meninggal dunia akibat luka parah kesan tetakan mata kapak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati, terdapat banyak kesan cedera di bahagian kepala dan tangan mangsa kesan tetakan senjata itu.

Menurutnya, kecederaan yang berpunca daripada objek tumpul pula adalah kesan cedera menggunakan belakang kapak.

"Hasil bedah siasat juga, kita dapati terdapat senjata lain digunakan suspek dalam kes ini iaitu pisau kecil dan tali untuk menjerut leher mangsa.

"Polis bagaimanapun masih dalam siasatan bagi mendapatkan kedua-dua barang kes terbabit," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan rekod kesihatan terhadap suspek mendapati, lelaki berusia 61 tahun itu tidak mempunyai sejarah pesakit mental.

Begitupun katanya, suspek dikatakan seorang yang panas baran dan cepat marah.

"Sebelum kejadian, suspek dikatakan berang selepas ditegur oleh kakak iparnya kerana tidak bekerja, selain telah merosakkan komputer di rumah.

"Suspek yang marah telah bertindak menyerang wanita itu sebelum memukul suami wanita berkenaan yang juga abangnya yang datang untuk membantu," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, terdapat motif lain iaitu membabitkan dendam lama antara suspek dan mangsa yang membawa kepada kes itu, namun masih dalam siasatan polis.

"Polis tidak pernah menerima sebarang laporan daripada mangsa berkaitan suspek sebelum ini," katanya.

Pada Khamis, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan polis di sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang sekitar jam 7.45 malam.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian itu, Ng Chuan Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah, kesan kecederaan di kepala yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

Kejadian itu disedari abang mangsa berusia 65 tahun yang baru pulang dari tempat kerja sekitar jam 8.45 pagi pada Khamis.