Suspek bunuh pasangan suami isteri diberkas

Sepasang suami isteri ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh adik kandung di kediaman mereka di Taman Bercham Aman dekat sini pada Khamis. (Gambar kecil: Mior Faridalathrash)
Sepasang suami isteri ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh adik kandung di kediaman mereka di Taman Bercham Aman dekat sini pada Khamis. (Gambar kecil: Mior Faridalathrash)
A
A
A

IPOH - Lelaki yang menjadi suspek utama kes pembunuhan sepasang suami isteri di Taman Bercham Aman di sini sudah ditahan polis pada Khamis.

Suspek berusia 61 tahun yang merupakan adik kandung mangsa itu ditahan di sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang sekitar jam 7.45 malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, turut dijumpai bersama suspek, sebilah kapak iaitu senjata yang dipercayai digunakan untuk mendatangkan kematian kepada mangsa.

"Ujian saringan urin telah dilakukan dan didapati, suspek bebas daripada pengaruh dadah.

"Dengan tertangkapnya suspek dan rampasan barang kes, maka kes bunuh ini berjaya diselesaikan dalam masa 11 jam selepas laporan diterima," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pagi ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

Katanya, polis membuka kertas siasatan kes itu dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Terima kasih kepada Polis Pahang, pengurusan resort, rakan media dan orang awam atas kerjasama dan bantuan diberikan sehingga membawa kepada penahanan suspek dalam masa yang singkat," katanya.

Dalam kejadian itu, Ng Chuan Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah, kesan kecederaan di kepala yang disebabkan senjata tajam dan objek tumpul.

Kejadian itu disedari abang mangsa berusia 65 tahun yang baru pulang dari tempat kerja sekitar jam 8.45 pagi.

Sebelum kejadian, dimaklumkan berlaku pertengkaran antara suami isteri itu dengan suspek yang tinggal bersama di rumah berkenaan.

Selepas kejadian, suspek bertindak melarikan diri dan semakan mendapati dia mempunyai satu rekod jenayah lampau bersabit Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah.