Insentif RM484,000 untuk pelajar SPM, guru, PIBG cemerlang

Wan Rosdy (enam dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Mohammad Rosli (dua dari kiri) pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2021 Negeri Pahang tahun 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat.
Wan Rosdy (enam dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Mohammad Rosli (dua dari kiri) pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2021 Negeri Pahang tahun 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi insentif sebanyak RM484,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, termasuk kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru yang bertanggungjawab terhadap kejayaan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui insentif itu, seramai 418 pelajar cemerlang dari sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Agama Negeri dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang akan menerima tunai RM1,000 setiap seorang.

Menurutnya, manakala 21 guru subjek terbaik menerima insentif RM1,000 setiap seorang dan sebanyak 15 PIBG cemerlang pula mendapat ganjaran sebanyak RM3,000.

"Besar harapan saya agar insentif ini mampu menjadi pemangkin dan rangsangan awal untuk anak-anak lebih bersemangat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Jadikan kejayaan ini sebagai titik tolak dan pemula untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi pada masa hadapan. Semoga pemberian insentif ini juga sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM 2021 Negeri Pahang tahun 2022 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Menyentuh hal yang berkaitan dengan jati diri dan identiti Pahang, Wan Rosdy mengakui cukup bangga kerana Jabatan Pendidikan Negeri Pahang mempunyai perancangan strategik dalam melahirkan anak-anak beridentitikan jati diri negeri ini melalui Transformasi Pendidikan Pahang (TPP).

Jelasnya, pelbagai program telah dijalankan seperti Program Pengupayaan Pemimpin Pendidikan Pahang (5P) dalam usaha mengupayakan pengetua dan guru besar, Senior Leader Team (SLT) dan Middle Leader Teacher (MLT) dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkualiti.

"Tahniah kepada warga pendidikan yang mempunyai iltizam yang tinggi dalam menjayakan hasrat murni ini.

"Saya berharap agar kecemerlangan yang diperoleh pada kali ini dapat ditingkatkan pada tahun-tahun akan datang dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dalam pelajaran," katanya.