Pertemuan empat mata Ismail Sabri, Erdogan hari ini

Ismail Sabri (dua, kiri) melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye, untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan republik itu dalam bidang teknologi, pada Rabu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua, kiri) melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye, untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan republik itu dalam bidang teknologi, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

ANKARA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Turkiye akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden, Recep Tayyip Erdogan di sini pada Khamis.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka saling bertukar pandangan berhubung usaha mengukuhkan hubungan, antara dua negara, di samping berbincang mengenai isu-isu melibatkan perkembangan serantau dan antarabangsa, terutama yang berkaitan dengan sekuriti makanan dalam pertemuan di Istana Presiden itu nanti.

Ia diikuti dengan mesyuarat delegasi Malaysia dan Turkiye.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, dan Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal.

Ismail Sabri dan Erdogan juga dijadualkan menyaksikan majlis menandatangani tujuh Memorandum Persefahaman, sebelum mengadakan persidangan media.

Erdogan kemudiannya akan menganjurkan majlis makan tengah hari untuk delegasi Malaysia.

Terdahulu pada Khamis, Ismail Sabri mengunjungi Kemal Ataturk Memorial dan menandatangani buku pelawat memorial berkenaan, yang dibangunkan sebagai penghormatan kepada pengasas dan presiden pertama negara Turki moden itu.

Pada Rabu, Perdana Menteri melawat dua penggiat utama dalam industri pertahanan dan aeroangkasa di Turkiye iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI), selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama teknologi dengan negara itu.

Perdana Menteri dijadualkan kembali ke tanah air pada hari Jumaat. - Bernama