MUIP sumbang RM50,000 bantu mangsa banjir di Kedah

Keadaan rumah penduduk di Baling, Kedah selepas dilanda banjir pada petang Isnin. - Foto Bernama
Keadaan rumah penduduk di Baling, Kedah selepas dilanda banjir pada petang Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyerahkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membantu mangsa banjir dan kepala air di Baling, Kedah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan berbentuk wang tunai itu telah disalurkan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab MUIP untuk membantu mereka yang ditimpa musibah.

"Kita akui ada dalam kalangan mangsa banjir mengalami kerugian harta benda dan kehilangan nyawa akibat daripada tragedi itu.

"Jadi kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mereka," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Asmadi berkata, awal tahun ini MUIP menyumbang kira-kira RM100,000 kepada mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Tambahnya, namun kali ini Kedah adalah negeri yang ketiga dibantu oleh pihak MUIP.

"Kita harap mangsa banjir dan kepala air di Baling bersabar dengan ujian yang diterima, mungkin ada hikmah di sebalik musibah ini," katanya.

Sementara itu, ditanya kursus bimbingan asas Fardu Ain Mualaf Tiong Wa, Asmadi berkata, kursus itu mendapat sambutan menggalakkan daripada 15 mualaf di negeri ini.

Menurutnya, kursus itu diuruskan sepenuhnya oleh MUIP dengan kerjasama Interaktif Dakwah dan Tarbiah.

Katanya, kursus itu disampaikan Pegawai Eksekutif IDT Pahang, Lim Joi Soon bagi memberikan kefahaman saudara Muslim.

"Selain itu, ia bertujuan untuk memantapkan ibadah dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan tentang ibadah khusus dan umum.

"Diharap kursus ini sentiasa mendapat sokongan dan pihak MUIP sentiasa mengalu-alukan mualaf atau saudara baharu untuk turut hadir menyertai program seperti ini," katanya.