Langgar syarat lesen, lima kru Myanmar ditahan

Lima kru bot Myanmar ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja dan memiliki dokumen pengenalan diri mencurigakan.
Lima kru bot Myanmar ditahan kerana tidak mempunyai permit kerja dan memiliki dokumen pengenalan diri mencurigakan.
A
A
A

KUANTAN - Sebuah bot nelayan tempatan ditahan bersama tekong dan empat awak-awak warga Myanmar kerana disyaki melanggar syarat lesen pada Ahad lalu.

Bot kelas C yang mencurigakan itu ditahan untuk pemeriksaan kira-kira jam 2.05 petang di lokasi kira-kira 20 batu nautika dari Muara Kuala Pahang di sini.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati ada dalam kalangan kru bot tersebut tidak memiliki permit kerja dan memiliki dokumen pengenalan diri mencurigakan.

Menurutnya, dalam pemeriksaan itu, anggotanya turut merampas 950 kilogram hasil laut dan peralatan menangkap ikan.

"Semua kru bot dan barang rampasan dibawa ke Jeti Penerpa di sini sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

'Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kamal Ariffin berkata, komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan syarat lesen selain mengutamakan keselamatan apabila berada di laut.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel Berkaitan: