Dipenjara 50 tahun, lapan sebatan rogol anak kandung

Lelaki berusia 60 tahun (tengah) yang dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Rabu atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan.
Lelaki berusia 60 tahun (tengah) yang dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Rabu atas kesalahan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan.
A
A
A

MELAKA - Padah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung sendiri, seorang pengait sawit dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh yang berusia 60 tahun membuat pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Berdasarkan dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan yang mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Bagi dua pertuduhan lain, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi kesalahan Seksyen 14 (a) AKSTKK 2017, manakala Seksyen 16 (1) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Kesemua tindakan itu dilakukan tertuduh di kebun sawit serta di sebuah rumah dalam daerah Jasin pada 18 Oktober 2021 dan 20 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan juga keadilan kepada mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap kesalahan merogol serta penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi kes amang seksual fizikal.

Mohd. Sabri bagaimanapun memerintahkan hanya hukuman bagi amang seksual fizikal akan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 23 Mac lalu.