DBKL lanjut pengurangan sewa kepada penjaja terpilih

Jalaluddin (kanan) bertanya khabar penjaja di Anjung Selera Jalan Jujur Bandar Tun Razak pada Rabu.
Jalaluddin (kanan) bertanya khabar penjaja di Anjung Selera Jalan Jujur Bandar Tun Razak pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan pengurangan sewa sebanyak 50 peratus kepada penyewa dalam bangunan pasar dan pusat penjaja DBKL.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pengurangan kadar sewa tersebut disambung selama enam bulan lagi bermula Julai hingga Disember depan.

Menurutnya, sebanyak 5,766 akaun menerima manfaat itu dengan anggaran pengurangan hasil hampir RM3.1 juta bagi tempoh lanjutan pengurangan sewa itu.

"Walaupun negara memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu, namun masih terdapat rungutan daripada penjaja dan peniaga kecil tentang bebanan hidup yang terpaksa ditanggung akibat impak ekonomi yang baharu memasuki proses perkembangan secara berperingkat.

"Bagi mengurangkan bebanan dan menambah nilai aliran wang kelompok berkenaan, pihak kementerian dan DBKL bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengurangan kadar sewa berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, DBKL telah memberi inisiatif pengurangan kadar sewa tersebut bermula Januari 2022 hingga Jun 2022.

Katanya, inisiatif itu diharap membantu peniaga dan penjaja kecil untuk terus mengoptimumkan operasi perniagaan mereka, sekali gus membantu mengurangkan bebanan hidup di ibu kota.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL telah memberi pelbagai sumbangan dan inisiatif Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 sehingga Mac 2022.

Terdapat 10 bentuk bantuan dan inisiatif telah diberikan di bawah kelolaan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP) DBKL yang menelan kos atau pengurangan hasil hampir RM31. 8 juta.