Pesawat penumpang terbang bersama lubang besar

Sebuah lubang terdapat pada pesawat Airbus A380 ketika ia terbang dari Dunai ke Brisbane pada Jumaat lalu, - Foto © Twitter / JACDENNEW
Sebuah lubang terdapat pada pesawat Airbus A380 ketika ia terbang dari Dunai ke Brisbane pada Jumaat lalu, - Foto © Twitter / JACDENNEW
A
A
A

BRISBANE - Juruterbang dan penumpang sebuah pesawat penumpang Emirates dari Dubai ke Brisbane, Australia terkejut apabila mendapati mereka telah terbang selama 14 jam dengan lubang besar di tepi badan kapal terbang Airbus A380 yang mendarat di Brisbane, Australia pada Jumaat lalu.

Menurut Aviation Herald iaitu laman web yang menjejaki insiden keselamatan syarikat penerbangan, anak kapal dan penumpang penerbangan EK-430 pada Jumaat lalu melaporkan dentuman kuat kira-kira 45 minit selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang utama Dubai.

Juruterbang percaya bahawa salah satu tayar pesawat mungkin meletup dan memaklumkan kawalan trafik udara di Brisbane serta meminta perkhidmatan kecemasan bersedia.

Selepas pesawat berjaya mendarat dan penumpang keluar dari pesawat, jurutera menemui lubang besar pada badan kiri kapal terbang tersebut.

Syarikat Emirates kemudian menjelaskan kepada akhbar The Independent bahawa kejadian itu adalah akibat salah satu daripada 22 tayar A380 mengalami kerosakan teknikal semasa berlepas.

Tayar itu pecah dan merosakkan badan kiri belakang kapal terbang tersebut, kata jurucakap Emirates.

"Pesawat itu selamat mendarat di Brisbane dan semua penumpang turun mengikut jadual," kata jurucakap itu.

Menurut syarikat penerbangan itu, jet penumpang telah dibaiki sepenuhnya dan ia bertolak pulang ke Dubai pada Ahad. - Agensi