UPSI hantar pasukan ResQ bantu mangsa banjir di Baling

Norkhalid (tengah) bersama sebahagian pelajar UPSI yang terlibat bersama pasukan ResQ ke Baling, Kedah dalam misi membantu mangsa banjir di kawasan tersebut.
Norkhalid (tengah) bersama sebahagian pelajar UPSI yang terlibat bersama pasukan ResQ ke Baling, Kedah dalam misi membantu mangsa banjir di kawasan tersebut.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghantar pasukan ResQ bagi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah pada Selasa.

Ia sekali gus menjadi universiti awam pertama menghantar pasukan sukarelawan ke lokasi bencana tersebut.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI sentiasa prihatin dan bersimpati dengan nasib mangsa banjir termasuk terbaharu di beberapa kampung di Baling.

Menurutnya, pasukan tersebut terdiri daripada kakitangan dan mahasiswa ke lokasi bencana dengan membawa bersama keperluan seperti pakaian, selimut, cadar dan telekung.

"Kami memiliki pasukan ResQ yang memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi terdiri daripada staf dan mahasiswa yang sentiasa bersiap siaga untuk membantu komuniti yang mengalami bencana alam termasuk banjir.

"UPSI amat bersimpati dengan kejadian bencana yang berlaku di Baling,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, pasukan ResQ yang diketuai oleh Dr Omar Firdaus bergerak ke Baling bersama anggota seramai 15 orang staf dan pelajar ResQ.

Artikel Berkaitan:

Norkhalid (kanan) melepaskan pasukan ResQ UPSI ke Baling di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim pada Selasa.
Norkhalid (kanan) melepaskan pasukan ResQ UPSI ke Baling di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim pada Selasa.

Menurutnya, kekuatan jentera yang dihantar termasuklah sebuah bas, tiga buah kenderaan pacuan empat roda, dua bot dan tiga kayak.

"Kami juga akan menyediakan bantuan pascabanjir seperti 'water jet' dan pelbagai kelengkapan selain keperluan makanan untuk mangsa banjir.

"Pasukan ResQ juga akan membantu keluarga pelajar dan staf UPSI yang ditimpa musibah banjir itu," katanya.

Pasukan tersebut telah berlepas dari UPSI kira-kira jam 12 tengah hari pada Selasa menuju ke lokasi kejadian.