Syed Saddiq minta saya ‘clearkan' RM1 juta: Saksi

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Bernama
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Saksi ke-13 pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkannya untuk ‘clearkan' RM1 juta milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Ahli Parlimen Muar itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rafiq Hakim, 32, berkata, Syed Saddiq memberi arahan itu ketika dia dihubungi menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ pada akhir bulan Mac atau awal April 2020.

Wan Shaharuddin: Kenapa?

Rafiq Hakim: Yang berhormat (YB) Syed Saddiq beritahu, SPRM nak datang ke rumah untuk periksa dan geledah, jadi YB arah ‘clearkan' wang yang ada pada saya, jadi saya beri kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari (saksi pendakwaan kesembilan) dan ahli Bersatu, Muhammad Naqib Ab Rahim.

Wan Shaharuddin: Kamu tahu ada siasatan oleh SPRM?

Rafiq Hakim: Ya.

Wan Shaharuddin: Kenapa ada siasatan?

Rafiq Hakim: Ia berhubung kehilangan wang RM250,000 YB, jadi SPRM nak siasat.

Wan Shaharuddin: Kamu agihkan wang itu?

Rafiq Hakim: Ya. RM650,000 saya beri kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib, baki RM100,000 pula, seingat saya digunakan untuk program Armada, saya lupa program apa.

Wan Shaharuddin: Di mana kamu simpan wang berkenaan sebelum beri kepada dua individu itu.

Rafiq Hakim: Di rumah saya.

Wan Shaharuddin: Kenapa Syed Saddiq suruh ‘clearkan' wang itu. Apa yang beliau beritahu kamu?

Rafiq Hakim: YB takut duit itu disita.

Dalam prosiding pagi Selasa, saksi utama ini berkata, dia mengetahui Syed Saddiq kehilangan wang dari peti besi rumahnya sebanyak RM250,000.

Bagaimanapun beliau berkata, Syed Saddiq tidak menyatakan bahawa wang itu milik ibu bapa atau untuk kegunaan ubah suai rumah sebaliknya hasil sumbangan politik.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan wang berkenaan sekiranya tidak menerima arahan, Rafiq Hakim menjawab, tidak.

Ini kerana, beliau yang juga salah seorang bekas pemegang amanah akaun bank Armada Bersatu berkata, pengeluaran wang tidak boleh dilakukan secara bersendirian sebaliknya memerlukan persetujuan tiga lagi pemegang amanah yang lain.

Selain beliau, dua lagi pemegang amanah bagi akaun tersebut ialah Syed Saddiq selaku Ketua Armada Bersatu dan Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi (saksi pendakwaan ke-11).

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung jam 2.30 petang ini.