142 bot nelayan asing bernilai RM213j dijadikan tukun tiruan

Antara bot nelayan asing Vietnam yang dilupuskan di Pulau Kapas, pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia Terengganu
Antara bot nelayan asing Vietnam yang dilupuskan di Pulau Kapas, pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu melupuskan sebanyak 142 buah bot nelayan asing dengan anggaran nilai keseluruhan RM213 juta sejak 2010.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kesemua bot berkenaan dijadikan tukun bagi pembiakan ikan di sepanjang perairan Terengganu.

"Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin disamping meningkatkan sektor pelancongan terutamanya aktiviti rekreasi selam.

"Ia juga merupakan simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang serta membanteras kemasukan nelayan asing terutamanya dari Vietnam ke perairan negara," katanya dalam kenyataan disini, pada Selasa.

Muhammad Suffi berkata, terbaharu, tiga bot nelayan Vietnam yang telah dilucuthak dijadikan tukun tiruan berhampiran perairan Pulau Kapas, pada pagi Selasa.

Katanya, bot berkenaan ditahan Kapal Maritim (KM) Langkawi, KM Mulia dan KM Gemia melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang turut melibatkan penahanan 22 kru termasuk tekong warga Vietnam.

"Tiga bot nelayan Vietnam itu ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah tahun lalu atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

"Kesemua bot itu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16 (3) Akta Perikanan 1985 iaitu memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Mahkamah turut mengenakan denda sejumlah RM2.75 juta ke atas tiga bot ini, namun tidak dijelaskan oleh pemilik.

Sehubungan itu, mahkamah melucutkan hak ketiga-tiga bot ini untuk dilupuskan manakala 22 nelayan Vietnam dihukum penjara tujuh bulan,"katanya.

Menurut Muhammad Suffi, pelupusan bot nelayan Vietnam di perairan Pulau Kapas tersebut merupakan siri keenam yang diadakan tahun ini menjadikan sebanyak 13 bot telah dilupuskan di perairan tersebut.

"Sebelum ini kita telah melupuskan empat buah ​vesel lucut hak pada 2018, 2019 (3) dan tiga buah pada 9 Jun lalu.

"Setakat ini sebanyak 40 buah bot masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu,"katanya.

Beliau berkata, program pelupusan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

"Kita harap kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang serta kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Terengganu di talian 09-6224357, "katanya.