MRSM Felda antara inisiatif pendidikan generasi FELDA

A
A
A

MRSM Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak antara contoh sekolah berasrama penuh terbaik di negara ini.
MRSM Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak antara contoh sekolah berasrama penuh terbaik di negara ini.

SHAH ALAM - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak disifatkan antara yang terbaik dalam negara ini dan menjadi bukti komitmen FELDA dalam memperkasa pendidikan generasi baharu FELDA.

Yang Dipertua Muafakat (YDP) MRSM Felda Trolak, Norzaimila Zainudin berkata, kemudahan dan kelengkapan infrastruktur yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) juga adalah terbaik.

“Disebabkan keprihatinan Felda, mereka diberikan bas baharu untuk pelajar-pelajar MRSM di sini bergerak. Selain daripada bas, setiap kelas kita adalah 'smart classroom'. Tidak lama lagi akan dimasukkan WiFi dan kita ke arah IR4.0," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian.

NORZAIMILA
NORZAIMILA



Di samping itu katanya, aspek kokurikulum melibatkan pelajar-pelajar MRSM Felda juga adalah sangat membanggakan.

"Pasukan ragbi kita merupakan pasukan ragbi yang hebat. Tiap-tiap tahun jadi juara. Selain daripada ragbi, kita juga mempunyai orkestra sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Gamelan kita juga tidak kurang hebatnya dipanggil untuk persembahan di serata tempat. Mereka ini selain daripada akademik, juga cemerlang di bahagian kokurikulum," ujarnya.

Selain itu, Norzaimila turut mengucapkan penghargaannya kepada Felda kerana mengutamakan kepada aspek pendidikan untuk warganya.

"Ini adalah satu kelebihan yang tidak boleh dinafikan oleh masyarakat Felda. Kita patut bersyukur kerana kalau tidak mungkin anak-anak kita akan ketinggalan.

Menurutnya, sasaran Felda yang mahu menjadi sebuah entity setaraf Fortune 500 menjelang tahun 2040 juga akan melibatkan pelajar-pelajar daripada MRSM ini nanti apabila mereka inilah modal insan yang akan menyumbang bakti memajukan Felda.

"Memang kita sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Felda sebab menyediakan MRSM Felda yang saya boleh katakan mempunyai fasiliti yang terbaik berbanding dengan 56 MRSM lain," katanya.

Beliau berkata, selain daripada aspek akademik dan kokurikulum, aspek keagamaan juga turut dititikberat kepada pelajar-pelajar di MRSM Felda ini.

"Setiap malam sebelum tidur, mereka akan membacakan Surah Al-Mulk dan Surah Al-Waqiah. Jadi saya sangat bersyukur, selain daripada akademik mereka juga fokus kepada agama," katanya.

Norzaimila turut memaklumkan bahawa ibu bapa pelajar MRSM Felda juga baru-baru ini menyuarakan untuk turut sama dalam Program Wakaf Quran bagi menyatakan kesyukuran mereka.

"Sebenarnya 'tagline' berjaya dalam keberkatan yang selalu disebut Tan Sri Idris Jusoh, Pengerusi FELDA itu memang 'tagline' yang sangat sesuai. Sangat terpakai untuk semua orang.

"Anak-anak di sini pun, selepas (tamat) sekolah mereka akan datang semula ke sini dan menyumbang bukan sahaja dari segi wang tetapi dari segi tenaga dan buah fikiran. Begitu juga ibu bapa yang berada di sini," katanya.

MUHAMMAD NUR IMAN
MUHAMMAD NUR IMAN

Sementara itu, bagi pelajar Tingkatan Tiga, Muhammad Nur Iman Hishamuddin berkata, dia yang telah tiga tahun di MRSM Felda berasa seronok apabila belajar di sini.

"Hari-hari banyak aktiviti. Memang masa kami akan penuh. Kita diisi dengan macam-macam aktiviti yang seronok. Macam kokurikulum dan kadang-kadang ada hari sukan," katanya yang menyertai orkestra.

Dia yang merupakan generasi ketiga dari Felda Sungai Behrang turut memuji kemudahan dan kelengkapan yang disediakan di MRSM ini.

Katanya, kelengkapan di dalam dewan kuliah adalah selesa seperti mempunyai pendingin hawa dan saiz yang luas.

Muhammad Nur Iman juga memberikan nasihat kepada generasi Felda lain agar menggunakan kemudahan yang ada menerusi telefon pintar masing-masing untuk belajar.

"Kita ada telegram dan boleh sertai grup macam tuisyen dan lain-lain. Saya rasa ia bergantung kepada diri sendiri untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai sesuatu yang kita nak," katanya.

MIZA MARSHA
MIZA MARSHA

Bagi pelajar Tingkatan Empat, Miza Marsha Zainuddin, Felda telah banyak menyediakan kemudahan kepada pelajar MRSM di sini seperti asrama, dewan makan dan blok akademik.

"Contohnya kemudahan di asrama ada mesin basuh dan penapis air. Di dewan makan, kita disajikan pula oleh (katerer) D'Saji dan di blok akademik pula ada dewan kuliah," ujarnya.

MOHAMAD NAZREEL
MOHAMAD NAZREEL

Pelajar Tingkatan Lima, Mohamad Nazreel Syafiq Zamani pula menyatakan bahawa dia berasa bangga apabila dapat belajar di MRSM Felda.

"Saya bangga dapat menjadi salah seorang daripadanya dan dapat belajar disini. Saya tidak pernah terbayang dapat belajar di sini," katanya.

Menurutnya, guru-guru yang bertugas di MRSM Felda juga semuanya sangat berdedikasi dan ikhlas mencurahkan ilmu.