Peng Soon mahu tampil agresif di Masters Malaysia

Chan Peng Soon
Chan Peng Soon
A
A
A

PEMAIN beregu campuran negara Chan Peng Soon mahu tampil dengan corak permainan lebih agresif bersama Cheah Yee See pada cabaran Masters Malaysia yang akan bermula esok hingga Ahad ini (10 Julai).

Pemain berusia 34 tahun itu berkata, beliau tidak mahu mengulangi kesilapan di Terbuka Malaysia pada minggu lepas apabila mereka terkandas seawal pusingan pertama di tangan pasangan Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas.

"Saya tengok balik perlawanan (Terbuka Malaysia) itu dan dapati masalah dari segi gaya permainan, mungkin saya fikir terlalu banyak sebab ini gandingan baharu jadi kombinasi lari.

"Masalah saya (ialah) main terlalu tenang dan tak cukup agresif, jadi harap minggu ini lebih agresif supaya gaya permainan itu pasti akan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Axiata Arena, di sini pada Isnin.

Selasa lepas, impian pasangan yang baru digandingkan itu untuk mencipta kejayaan di tanah air tidak kesampaian selepas tewas 9-21, 21-12, 22-20 dalam tempoh 53 minit kepada Rinov-Pitha.

Ketika ditanya tahap keserasiannya bersama Yee See pada kejohanan keempat mereka itu, pemenang perak Olimpik Rio itu berkata: "masih on off, tidak stabil lagi dan masih ada kekeliruan tapi akan kami cuba yang terbaik.”

Mengulas lanjut, beliau berkata kejohanan itu adalah medan bagi mereka mencari rentak keserasian untuk tampil dengan aksi cemerlang di Sukan Komanwel Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Untuk sekarang langkah demi langkah (mencari keserasian) tetapi paling penting sebenarnya di Sukan Komanwel, itu sasaran utama saya dalam menampilkan aksi lebih bagus,” katanya. - Bernama