212 tukun tiruan dilabuh sejak 2007

212 tukun tiruan dilabuh sejak 2007. -Foto Bernama
212 tukun tiruan dilabuh sejak 2007. -Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebanyak 212 buah tukun tiruan membabitkan kos RM3 juta telah dilabuhkan di kawasan pesisir pantai Zon B sejak 2007 hingga kini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tukun tiruan tersebut dilabuhkan bertujuan meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di lokasi terbabit.

"Tukun tiruan ini juga dilabuhkan bagi menyediakan kawasan pembiakan ikan sekali gus membolehkan nelayan menangkap ikan berikutan kuantiti ikan yang banyak di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan oleh Jabatan Perikanan Malaysia di perairan Tok Bali, di sini hari ini.

Pada program tersebut sebanyak tujuh buah tukun tiruan menggunakan konsep konservasi membabitkan kos RM270,000 dilabuhkan di lokasi terbabit.

Nik Muhammad Zawawi berkata struktur pembinaan tukun tiruan itu mengguna pakai piawaian yang ditetapkan dalam garis panduan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) melibatkan tukun konservasi manakala tukun tiruan rekreasi pula bertujuan tangkapan secara memancing dan perikanan terkawal.

"Jabatan Perikanan juga akan membina, melaksanakan program dan melabuhkan tukun tiruan secara berterusan bagi memastikan sumber perikanan sentiasa mampan dan menjamin sekuriti makanan negara.

"Usaha itu mampu menjayakan kewujudan ekosistem yang berfungsi sebagai satu santuari, kawasan pembiakan dan nurseri untuk lain-lain hidupan marin, memulih serta melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam,” katanya. - Bernama