Polis buru pemandu Myvi berlagak samseng

Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Myvi secara berbahaya dan berlagak samseng jalanan.
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Myvi secara berbahaya dan berlagak samseng jalanan.
A
A
A

GOMBAK - Polis sedang mengesan seorang lelaki memandu kereta jenis Perodua Myvi secara berbahaya dan berlagak samseng dengan memandu secara berbahaya dan melulu di Jalan Taman Selayang Jaya, Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya kesan satu rakaman video berdurasi satu minit 14 saat di media sosial pada jam 10.18 pagi Isnin.

"Dalam kejadian tersebut, sebuah kereta Perodua Myvi telah dipandu secara melulu dan berbahaya dengan memotong serta brek secara mengejut di hadapan sebuah kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zainal Mohamed berkata, satu laporan polis telah dibuat dan usaha mengesan pemandu Myvi dan pemilik perakam video (dashcam) sedang dijalankan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Zainal Mohamed berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.