Jajaran sempadan darat Selangor, Negeri Sembilan selesai

Takiyuddin (kiri) bersama Amirudin (dua kiri) melihat contoh batu penanda yang dipamerkan di ruang pameran disediakan.
Takiyuddin (kiri) bersama Amirudin (dua kiri) melihat contoh batu penanda yang dipamerkan di ruang pameran disediakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Perjanjian sempadan darat di antara Selangor dan Negeri Sembilan pada Isnin berjaya menyelesaikan jajaran sempadan darat di antara dua negeri itu pada jarak sepanjang 111.9 kilometer.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia bermula dari titik pertemuan sempadan di antara tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang serta berakhir di muara Sungai Sepang.

Menurutnya, titik akhir sempadan negeri itu juga akan dijadikan sebagai titik permulaan bagi kedua-dua negeri berkenaan untuk memulakan rundingan sempadan maritim hingga ke laut wilayah negeri.

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) berharap agar kerjasama erat dan persefahaman antara kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan akan dapat diteruskan sehingga termeterainya Perjanjian Sempadan Maritim antara kedua-dua negeri," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat di antara Selangor dan Negeri Sembilan diadakan di sebuah hotel di Sepang di sini pada Isnin.

Perjanjian Sempadan Darat di antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan itu ditandatangani Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Ahmad yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Mohammad Zaki Mohd Ghazali.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, penentuan jajaran sempadan yang jelas antara dua negeri itu akan turut membolehkan aktiviti penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijalankan dengan berkesan bagi mencegah berlaku pencerobohan tanah dan penerokaan sumber secara tidak sah.

"Selain itu, pengurusan serta pembahagian hasil-hasil sumber asli di kawasan-kawasan sempadan juga akan dapat dilaksanakan dengan cekap bagi manfaat penduduk di kedua-dua negeri," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan memuktamadkan jajaran sempadan darat di antara Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan tinggi daripada pasukan kerja ukur JUPEM yang melaksanakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan.

Tambahnya, pasukan terbabit telah memulakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran dari 5 Mei 2016 hingga siap sepenuhnya pada 17 Mac 2018 iaitu mengambil masa hampir dua tahun.