Hari Kebangsaan dengan aura baharu

Sambutan kali ini melibatkan penyertaan rakyat merentasi pelbagai latar belakang bangsa, kaum dan agama

A
A
A

Annuar (lima dari kiri) memegang replika Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.
Annuar (lima dari kiri) memegang replika Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dirancang dengan satu pembaharuan melibatkan peringkat komuniti dan keluarga di seluruh negara.

Tidak mahu dilihat bersifat majlis besar-besaran di peringkat nasional semata-mata, sambutan kali ini perlu melibatkan penyertaan rakyat merentasi pelbagai latar belakang bangsa, kaum dan agama.

Penganjuran acara juga bakal diadakan secara santai antara pemimpin dan rakyat yang hadir bersama keluarga masing-masing.

Namun, prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diikuti seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerjasama pemimpin

Annuar (tengah) bersama Mohammad (kiri) dan Mohd Sukari ketika melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.
Annuar (tengah) bersama Mohammad (kiri) dan Mohd Sukari ketika melancarkan Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

Untuk merealisasikannya, semua wakil-wakil rakyat akan diminta membantu menjayakan konsep merakyatkan komuniti bagi sambutan kali ini.

Unit-unit dalam rangkaian komuniti Keluarga Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan digerakkan untuk mengambil inisiatif mengadakan sambutan di peringkat akar umbi.

“Kita sarankan juga sambutan dianjurkan di peringkat keluarga melalui pertandingan, bagaimana sesebuah keluarga itu menyambut Hari Kebangsaan. Sebagai contoh, pertandingan boleh dibuat melalui TikTok yang menjadi kesukaan ramai,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri, pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.

“Saya tidak mahu ia disambut oleh negeri tertentu, peringkat tertentu dan kaum tertentu sahaja. Kita benar-benar ingin melihat kebersamaan rakyat Malaysia.

“Stesen penyiaran diharap memberi ruang untuk menyiarkan bagaimana kaum atau suku kaum di Malaysia menyambut Hari Kebangsaan.

“Bahan siaran jangan hanya bersifat KL centric atau tertumpu kepada orang Melayu sahaja. Hari Kebangsaan perlu mempamerkan masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Ia jarang diketengahkan kerana kita tidak beri ruang secara menyeluruh,” ujarnya.

Lambang patriotik

Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotik sempena Sambutan Bulan Kebangsaan sekali gus menyebarluaskan penggunaan logo dan tema kepada semua pihak.

Pemilihan logo yang berkonsepkan jalur liputan internet melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

SIVABALAN
SIVABALAN

Ketua Urusetia Jawatankuasa Media dan Publisiti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Datuk E Sivabalan berkata, tema ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan MyDigital dan melengkapkan pelaksanaan program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Katanya, pemilihan tiga jalur warna dalam logo iaitu merah, biru dan kuning adalah cerminan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang, mempunyai jati diri, semangat patriotik dan hidup dalam keadaan harmoni.

“Pemilihan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ adalah selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

‘Keluarga Malaysia’ merujuk kepada masyarakat yang aman damai, bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran manakala frasa ‘Teguh Bersama’ mendokong maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan,” jelasnya.

Annuar beramah mesra dengan pencipta logo, Syarifah Radziah Syed Khairuddin, 46, dari Bahagian Komunikasi Visual & Seni Reka, JaPen.
Annuar beramah mesra dengan pencipta logo, Syarifah Radziah Syed Khairuddin, 46, dari Bahagian Komunikasi Visual & Seni Reka, JaPen.

Beliau yang juga Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) turut yakin Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini disambut meriah oleh orang ramai.

“Dengan pelancaran logo dan tema ini, ia merupakan permulaan publisiti dan sekali gus menyebarluaskan pemakaian logo dan tema kepada semua pihak. Inilah kelainan yang kita harapkan,” katanya.

Program khas Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM2022):

- Acara serah baton (pelepasan) pada 30 Julai di Putrajaya oleh perdana menteri.

Tiga aktiviti utama Sambutan Bulan Kebangsaan:

- Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya.

- Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

- Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

Program bermula 30 Julai - 16 September 2022:

- Pertandingan Ilham Merdeka Tik Tok Challenge.

- Pertandingan KLIK@Merdeka.

- Pertandingan Bintang Smule.

- Pertandingan Bintang Patriotik.

- Pertandingan Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merdeka.

- Program Pengisahan Kenegaraan dan Sayembara Sajak Merdeka.