12 individu didenda RM3,000 tawar pinjaman tidak wujud

Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkaham Bukit Mertajam pada Isnin dan dikenakan denda RM3,000 setiap seorang.
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkaham Bukit Mertajam pada Isnin dan dikenakan denda RM3,000 setiap seorang.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 12 individu termasuk tiga wanita didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud secara dalam talian hingga mengakibatkan kerugian RM1.94 juta.

Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan mengenakan hukuman itu terhadap Foo Shi Jie, 19; Muhammad Syafiq Aiman Mohd Sofian, 19; Nornajihah Sutiman, 19; Chan Zi Quan, 21; Ryman Shah Razes, 21 dan Ng Zi Xuan, 21.

Turut dikenakan denda, Muhammad Faisal Zainal Akbar, 22; Tan Chia Yee, 22; Ainul Taherah Johari, 22; Low Jia Chun, 22; Muhammad Hafiz Shamsul, 26 dan Muhammad Norzulhilme Sumari, 29, selepas pertuduhan dibacakan bersama-sama.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama pihak kepada satu pakatan jahat jenayah melakukan jenayah berkenaan dan bersetuju melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pinjaman tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan pada 15 Jun lalu jam 12.45 tengah hari di sebuah Kondominium BM City, Jalan Perda dekat sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua 12 tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.

Mohammad Syafiq Nasrullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesan kesalahan membabitkan orang awam.

Bagaimanapun, Benjamin memohon meringankan hukuman berikutan kesemua tertuduh telah ditahan selama 19 hari dalam lokap yang boleh dianggapkan sebagai satu hukuman selain ia merupakan kesalahan pertama mereka.

Benjamin memaklumkan kebanyakan anak guamnya hanya penganggur disebabkan pandemik Covid-19 malah ada antara mereka masih lagi menuntut di kolej serta pekerja kilang yang berpendapatan RM1,500.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 seorang terhadap semua tertuduh dan jika gagal membayarnya akan dipenjara selama enam bulan.