PRU15: PN yakin semakin diterima rakyat

Muhyiddin ketika hadir ke Majlis Perasmian PN Kelantan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah pada Sabtu.
Muhyiddin ketika hadir ke Majlis Perasmian PN Kelantan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya parti itu semakin mendapat sokongan padu daripada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, kehadiran lebih 30,000 orang sehingga padang Majlis Daerah Tanah Merah bertukar menjadi lautan manusia ketika PN dilancarkan secara rasmi di Kelantan pada Sabtu menjadi bukti penerimaan rakyat terhadap parti tersebut.

"Saya difahamkan orang ramai mula memenuhi kawasan ini sejak pagi lagi dengan pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat Parlimen Tanah Merah. Pemandangan ini pada saya boleh dianggap sebagai luar biasa lebih-lebih lagi majlis ini diadakan di luar musim pilihan raya.

"Jumlah kehadiran yang begitu ramai seumpama ini biasa hanya dapat dilihat sewaktu kempen ketika pilihan raya sahaja, tetapi semalam orang ramai membanjiri kawasan padang awam ini bagi menyaksikan program bersejarah ini.

"Ini menjadi bukti penerimaan rakyat kepada satu gabungan parti politik yang matlamat perjuangan adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan bebas daripada penyelewengan dan rasuah serta sentiasa prihatin terhadap nasib hidup rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kesepakatan dan hubungan erat yang terjalin menjadi petanda yang cukup baik bagi PN untuk berhadapan PRU15 tidak lama lagi.

"Insya-ALLAH, kesepakatan yang dapat dilihat antara parti-parti komponen PN terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di negeri Kelantan akan terus memperkukuhkan PN dan mencetus gelombang sokongan padu rakyat kepada PN di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan: