[VIDEO] Sindiket seleweng diesel lebih RM14.4 juta tumpas

Kamarul Zaman (kiri) melihat tempat penyimpanan diesel kapal tangki digunakan sindiket di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor Kota Tinggi pada Ahad.
Kamarul Zaman (kiri) melihat tempat penyimpanan diesel kapal tangki digunakan sindiket di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi bernilai lebih RM14.4 juta susulan penahanan 13 lelaki di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan jam 11 malam itu, sebanyak 138,000 liter diesel dirampas dan menyita sebuah kapal tangki, empat buah tangki treler, sebuah kereta Toyota Vios serta empat unit pam penyedut minyak.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota cawangan perisikan dan siasatan khas, pasukan gerakan khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

"Premis berkenaan dipercayai telah dijadikan tempat transit penyeludupan diesel bersubsidi yang dikesan sejak sebulan lalu. Siasatan awal mendapati diesel bersubsidi yang diperoleh dari sekitar negeri ini akan dikumpul di tempat transit terbabit.

"Ia kemudian akan dijual ke pasaran tempatan dan antarabangsa untuk kegunaan kapal, kenderaan dan industri. Polis percaya pemindahan diesel ke kapal dilakukan di kawasan perairan negara," katanya pada sidang akhbar di Tanjung Belungkor di sini pada Ahad.

Kamarul Zaman (depan) menunjukkan tangki treler yang digunakan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di Sungai Sauk, Tanjung Belungkor di Kota Tinggi pada Ahad.
Kamarul Zaman (depan) menunjukkan tangki treler yang digunakan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi di Sungai Sauk, Tanjung Belungkor di Kota Tinggi pada Ahad.

Menurut Kamarul Zaman, sindiket meraih keuntungan berkali ganda hasil daripada penjualan diesel bersubsidi berkenaan pada harga sehingga RM3.50 seliter berbanding harga pasaran RM2.15 sen seliter.

"Semakan rekod ke atas suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan lelaki warga asing itu mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau dan pernah dihukum dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kes disiasat dibawah Sekyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Ujarnya, sejak Januari hingga Ahad Pasukan Polis Marin Wilayah Dua berjaya merampas 820,959 liter minyak diesel bernilai lebih RM1.7 juta.