Cabaran Malaysia di Terbuka Malaysia berakhir

Wooi Yik (kanan) dan Aaron Chia (kiri)
Wooi Yik (kanan) dan Aaron Chia (kiri)
A
A
A

IMPIAN beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mencipta kejutan ke atas juara dunia Takuro Hoki- Yugo Kobayashi dari Jepun sekali gus menjadi wakil tunggal negara menempah slot perlawanan akhir Terbuka Malaysia tidak kesampaian kali ini.

Pada aksi separuh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil, pasangan yang berada di ranking keenam dunia itu tewas 21-23, 9-21 kepada pilihan kedua kejohanan berkenaan.

Pada set pertama Aaron-Wooi Yik yang bermula garang apabila memimpin perlawanan sebelum lawan yang berpengalaman bangkit menyamakan kedudukan sebelum memenangi aksi pertama.

Sokongan padu dalam kalangan pemain ke-12 negara untuk melihat kebangkitan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada set kedua juga tidak kesampaian apabila Takuro Hoki- Yugo Kobayashi menamatkan cabaran keduanya dalam masa 41 minit.

Kemenangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi membolehkan mereka menempah slot perlawanan akhir berdepan beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada Ahad.

Fajar Alfian-Muhammad Rian mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, 21-14, 21-12 dalam masa 37 minit.

Untuk rekod, Terbuka Malaysia 2022 adalah antara satu daripada lima kejuaraan utama Super Siri di bawah kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$675,000 (RM2.96 juta).