TFC tidak rela keciciran mata di laman sendiri

Nafuzi Zain
Nafuzi Zain
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mahu anak buahnya fokus pada misi memburu tiga mata ketika melayan kunjungan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam esok.

Beraksi di laman sendiri, jurulatih berusia 44 tahun itu menggesa pemainnya supaya memanfaatkan kelebihan yang ada supaya tidak lagi kecewa disebabkan keciciran mata.

"Selepas keputusan seri dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) Rabu lepas, saya harap pemain berusaha bersunguh-sunguh mengutip tiga mata penuh di tempat sendiri. Perlu kumpul mata sebanyak mungkin untuk kekal di kedudukan selesa Liga Super," katanya yang ditemui pada sesi latihan di Gong Badak, semalam.

Berdasarkan kedudukan terkini, TFC menghuni tangga ketujuh Liga Super di belakang Selangor FC dengan kutipan 10 mata hasil daripada tujuh perlawanan.

Nafuzi berkata, beliau juga sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak mengambil mudah dan berwaspada dengan ancaman skuad Tok Gajah.

Menurutnya, selepas dua kekalahan berturut-turut kepada Sabah FC dan NSFC, skuad kendalian Christopher Gamel pastinya akan membuat perancangan lebih rapi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Sri Pahang FC malam esok.

"TFC dan Sri Pahang FC sama-sama dahagakan kemenangan. Masing-masing akan cuba memberi persembahan terbaik bagi mendapatkan mata.

"Saya akui kehadiran tiga pemain import baharu Sri Pahang FC pastinya menyukarkan tugas kita, namun pemain kita juga ada peranan dan kekuatan tersendiri," katanya yang fokus memperbaiki kelemahan di bahagian serangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: