Tiada pengedar dapat lesen import, jual air zamzam

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport," katanya.

Menurutnya, dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

"Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zamzam yang tidak berlesen.

Justeru itu, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan KKM menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran adalah RM83,618.20.

"BKKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform dalam talian termasuk e-dagang," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Daripada jumlah tersebut, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zamzam daripada media sosial," katanya.

Ujarnya, hasil pemantauan BKKM di media sosial pada tahun 2021 dan 2022 pula, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam telah dipadam daripada media sosial.

"Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zamzam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam zam tiruan," katanya.

Dalam pada itu beliau menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zamzam ke pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang aduan awam KKM dan Facebook BKKM.