Sila log masuk terlebih dahulu.

Pembiayaan insurans kenderaan khas untuk penjawat awam

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melancarkan pembiayaan insurans kenderaan Keluarga Malaysia dikenali sebagai myezycover.com khas untuk 1.6 juta penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif yang pertama kali dilaksanakan untuk penjawat awam secara digital itu turut dinikmati oleh mereka bertaraf kontrak.

"Kerajaan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia termasuk penjawat awam akibat pandemik Covid-19 terutamanya dalam kumpulan perkhidmatan sokongan yang selama ini menyokong cita-cita kerajaan, teguh berdiri sebagai tulang belakang pentadbiran negara dalam apa jua keadaan mahupun rintangan.

"Dengan inisiatif tersebut, pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan boleh dibuat tanpa bayaran pendahuluan dan faedah," katanya dalam ucapan perasmian program tersebut di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah dan Pengerusi A Tech Insure Sdn Bhd, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, penjawat awam boleh membuat pembayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).

"Pembiayaan tersebut berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan yang merupakan pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba selain Nota Perlindungan Insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit.

"Dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing bagi memastikan kenderaan dan penumpang berupaya dilindungi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail berkata, penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak, layak memohon skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia dengan syarat nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.

Ujarnya, program ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, program tersebut turut diperluaskan kepada kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat.

Pada sambutan Hari Pekerja 1 Mei lalu, Ismail Sabri mengumumkan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia akan dilaksanakan.

"Hari ini seperti yang dijanjikan, kerajaan menjadikannya satu realiti," katanya.