Lari pemeriksaan polis rupanya bawa dadah

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Zaid)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Mohd Zaid)
A
A
A

KAJANG - Tindakan seorang lelaki cuba meloloskan diri dengan memecut laju kereta semasa pemeriksaan polis di tepi jalan Taman Ikhlas, Bandar Sungai Long, di sini pada Khamis membongkar penemuan dadah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi, kereta jenis Nissan Almera yang dipandu lelaki berusia 23 tahun telah melanggar kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan kereta orang awam semasa cuba melarikan diri.

Menurutnya, suspek bagaimanapun berjaya ditahan di Lebuhraya Grand Saga berhampiran susur keluar Balakong/Sungai Long.

"Pemeriksaan polis telah menemui bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai kira-kira RM693.

"Suspek yang memiliki rekod lampau bersabit kes dadah itu juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Mohd Zaid, Polis Daerah Kajang menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah dan dadah khususnya di daerah ini boleh disalurkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.